Buscar

Páginas

~~Cahaya Belahan Jiwa yang Terbaik~~part 7



Cahaya Belahan Jiwa yang Terbaik part 1 di sini (KLIK)
Cahaya Belahan Jiwa yang Terbaik part 2 di sini (KLIK)
Cahaya Belahan Jiwa yang Terbaik part 3 di sini (KLIK)
Cahaya Belahan Jiwa yang Terbaik part 4 di sini (KLIK)
Cahaya Belahan Jiwa yang Terbaik part 5 di sini (KLIK)
Cahaya Belahan Jiwa yang Terbaik part 6 di sini (KLIK)


********
Langsir berwarna coklat itu diikat kemas dan tingkap dikuak. Bayu pagi menerobos masuk ke biliknya. Dalam nafas yang ditarik Filzah. Berdebar-debar hatinya kerana hari ini dia akan keluar buat pertama kalinya bersama bakal emak mertuanya, Puan Khatijah.

Sejurus sahaja Puan Juariah menelefon Puan Khatijah memberitahu berita gembira berkenaan penerimaan Filzah, Puan Khatijah tanpa berlengah menetapkan tarikh peminangan, pertunangan dan pernikahan Filzah dan Bahzi. Katanya peminangan, pertunangan dan pernikahan akan dilakukan serentak tetapi kenduri kesyukuran akan dilakukan kemudian, selepas Bahzi selesai menjalani praktikalnya yang cuma tinggal lebih kurang 2 bulan sahaja lagi. 

Filzah mencongak-congak di dalam hati. Tidak disangka semuanya akan berlaku sederas ini.

Hmmm…meminang, tunang dan nikah lagi 3 minggu….sebulan lepas tu baru buat kenduri kesyukuran…kiranya nikah gantung la ye ni mak?” soal Filzah pada emak semalam.

Ye Izah….bakal menantu mak tu bagi kita chance nak siap-siapkan untuk majlis…kalau ikutkan dia nk selesaikan terus masa nikah tu….mak tak berapa setuju…ye lah nanti kita pulak terkejar-kejar nak buat persiapan…

Kalau macam tu nanti sementara majlis tu Izah duduk kat mana?” Filzah masih kebingungan.

Alahai..kamu ni…sementara majlis tu kamu duduk rumah ni lagi la…Bahzi masih tinggal kat rumah bujang dia…kan dia praktikal kat Melaka…lepas da majlis baru lah duduk serumah. Lagipun katanya si Bahzi tu nak siapkan dulu rumah sebelum kamu berdua pindah masuk…

oooo……” balas Filzah pendek. Mengangguk tanda faham. Baru diketahui Bahzi sedang praktikal di Melaka. Sungguh sedikit yang dia ketahui tentang bakal suaminya itu namun sedikit pun tidak menggoyahkan keputusan yang telah dibuat.

Kenapa? Dah tak sabar ke?” Puan Juariah mengusik anak gadisnya itu.

Merona wajah Filzah menahan malu. Filzah hanya mampu tergelak kecil.

IZAH….

Jeritan emak dari tingkat bawah mengejutkan Filzah dari lamunan.

Assalamualaikum mak cik,” sapa Filzah hormat sebaik turun dari tangga.

Terlihat susuk tubuh bakal ibu mertuanya di tepi pintu. Senyuman semanis mungkin diberikan.Ini adalah kali kedua pertemuannya dengan wanita separuh abad itu. Kali pertama mereka bertemu adalah ketika rombongan merisik. Itupun tiada peluang untuk berbual.

Disalami wanita itu dengan dada yang berdegup kencang. Seram sejuk dirasakannya. Erat tangan Puan Khatijah memegang tangan Filzah. Segaris senyuman ikhlas terukir di wajah tua itu.

Janganlah panggil mak cik…Panggil umi pun boleh…” kata Puan Khatijah. Tak sabar rasanya mahu menerima menantu sulung.

Baiklah umi….” laju sahaja butir perkataan 'umi' keluar dari mulut Filzah.

Hatinya sedikit pun tidak merasa ragu-ragu akan keputusannya menerima lamaran Bahzi walaupun tidak mengenali langsung siapakah bakal suaminya. Bayangan wajah Bahzi juga masih kabur dalam mindanya.

Kedua wanita itu melangkah keluar dari rumah meninggalkan Puan Juariah keseorangan. Asalnya Puan Juariah mahu turut serta mencari cincin serta pakaian untuk majlis nikah Filzah dan Bahzi. Namun tiba-tiba sahaja Puan Juariah terpaksa menguruskan hal lain.

Izah, umi nak ucapkan terima kasih banyak-banyak sebab sudi menerima lamaran Bahzi walau Izah tak pernah kenal Bahzi” kata Puan Khatijah memecah kebisuan di dalam kereta yang meluncur di jalan raya.

Keputusan yang Izah buat ni adalah yang paling Izah rasakan tepat. Sedikit pun tiada rasa berat hati atau keterpaksaan ketika Izah membuat pilihan. Insya-Allah Izah yakin dengan kata hati Izah.” balas Izah berhati-hati.

Anak umi tu pemalu orangnya. Sepanjang 23 tahun umi besarkan dia, tak pernah dia kenalkan umi dengan mana-mana perempuan yang dianggapnya sebagai teman istimewa. Pemalu sungguh Bahzi tu. Tapi umi yakin Bahzi mampu menjadi nakhoda dalam sebuah rumah tangga. Umi dapat rasakan Izah adalah seorang yang istimewa dalam hati Bahzi. Terkejut jugak umi hari tu Bahzi ajak umi merisik Izah,” sambung umi diikuti gelak kecil.

Izah pun terkejut umi,” ujar Izah perlahan. Hampir saja tidak kedengaran oleh Puan Khatijah.

Perjalanan diteruskan dengan perbualan-perbualan kosong. Sekadar mengisi masa dan mencari keserasian antara keduanya.

Ternyata Puan Khatijah menyenangi bakal menantunya itu. Padanya Izah merupakan seorang gadis yang tulus dan tidak mengada-ngada. Tidak seperti sesetengah gadis yang tergedik-gedik tidak bertempat. Dirasakan tepat pilihan Bahzi. Senyuman tidak pernah lekang dari bibir Puan Khatijah sepanjang perjalanan.

Hari bersejarah itu hanya tinggal tiga minggu sahaja lagi.Kecut perut Filzah apabila memikirkan hal itu. Berdebar-debar dirasakan. Tidak disangka segalanya berlaku dengan pantas.

Menjelang malam barulah selesai segala urusan yang penting. Filzah membuat keputusan hanya untuk menempah sepasang sahaja pakaian untuk hari pernikahannya nanti. Pakaian untuk bertunang dia akan menggunakan jubah putih yang telah tersedia di dalam almari pakaiannya. Hadiah pemberian ibunya. Pada Filzah biarlah majlis itu nanti seringkas mungkin dan tidak membazir.

Setelah mengucapkan selamat tinggal, Filzah melangkah longlai menuju ke kamarnya. Barang-barang hantaran untuk Bahzi yang telah dibeli tadi diletakkan di tepi meja solek. Tidak sabar rasanya mahu berbaring melegakan kelenguhan ditubuhnya. 


Tidak sampai beberapa minit, Filzah terus lena dibuai mimpi. 

********

Masa bergerak dengan pantas sekali. Kesibukan mempersiapkan semua prosedur dan urusan untuk pernikahannya membuatkan Filzah merasa lelah sekali.Mujurlah ketika itu dia sedang cuti semester, sekurang-kurangnya tidaklah mengganggu fokusnya terhadap pelajaran.

Perkhabaran tentang pernikahannya tidak diberitahu kepada kawan sekuliahnya. Cuma Min seorang sahaja yang dijemput. Fikirnya biarlah rakan-rakan dijemput ketika majlis kesyukuran nanti.

Gubahan-gubahan hantaran hasil kreatif Filzah dan Puan Juariah disusun rapi di tepi dinding kamarnya. Filzah hanya memandang sepi kepada hantaran yang bertemakan warna biru laut itu,warna kegemarah Bahzi seperti yang dimaklumkan oleh Puan Khatijah. Keluarga sebelah Bahzi pula menyediakan hantaran balas bertemakan warna merah jambu yang menjadi kegemaran Filzah.

Semenjak 2-3 hari kebelakangan ini fikiran Filzah sering sahaja bercelaru. Pernikahannya tinggal kurang seminggu sahaja lagi. Debaran semakin dirasakan. Paling dirisaukan adalah penerimaan Bahzi terhadap dirinya. Seringkali fikiran buruk menerjah mindanya. Mahukah Bahzi menerima seseorang yang mempunyai masa lampau kelam seperti dirinya?Mahukah Bahzi menerima seorang isteri yang telah hilang kesucian diri?Berbagai-bagai lagi persoalan mengasak-asak kotak fikirannya.

Lewat panggilan telefon di suatu petang, Filzah mengadu akan persoalan-persoalan yang bermain di mindanya kepada Kak Najwa. Tidak tertanggung rasanya memikirkan seorang diri. Kak Najwa meyakinkan Filzah bahawa Bahzi bukanlah seseorang yang berfikiran kolot dan begitu mudah menghukum. Kak Najwa menasihati Filzah agar tidak putus-putus berdoa kepada Allah agar segala urusan dipermudahkan.

Benar, segala keperibadian Bahzi seperti yang diceritakan oleh Puan Khatijah, Kak Najwa dan Abang Zul menunjukkan Bahzi merupakan seorang lelaki yang amat baik budi pekertinya. Tidak pernah sekali pun Filzah mendapat panggilan atau kiriman SMS dari Bahzi. Segala apa yang Bahzi mahu sampaikan pada Filzah akan dikirim melalui emak Filzah atau melalui umi.Bahzi sangat menjaga perhubungan mereka. Dan melalui apa yang diceritakan oleh Puan Khatijah, gambar Filzah yang Encik Kamal berikan kepadanya pun Bahzi serahkan pada Puan Khatijah. Katanya tidak perlu dipandang lama-lama gambar bakal isterinya kerana lambat laun dapat juga tengok.

Setelah berfikir panjang, Filzah mengambil keputusan untuk mengirimkan sepucuk surat kepada Bahzi untuk memberitahu tentang perkara itu. Filzah yakin itu adalah yang terbaik kerana baginya tidak adil jika dirahsiakan dari Bahzi. Andainya Bahzi tidak dapat menerima kenyataan tentang keadaan sebenar Filzah dan ingin menghentikan majlis yang dirancang, Filzah sekali-kali tidak akan mempersalahkan Bahzi.

Bukanlah dia sengaja mahu Bahzi membenci dirinya apabila mendedahkan perkara yang sebenar kepada Bahzi. Tetapi pada hakikatnya Filzah merasa lebih gerun apabila memikirkan andainya rahsia itu terbongkar setelah keduanya bernikah dan lebih buruk andai ketika itu Filzah telah mula menyayangi Bahzi. Sungguh tidak sanggup Filzah merasa kekecewaan dan kesakitan kehilangan orang yang disayangi sekali lagi


******** 

Beep…beep….

Handphone yang terletak di meja sudut dicapai…

1 new message. 

Berdebar-debar hati Filzah melihat satu nombor asing terpapar di skrin handponenya.

Siapa agaknya ni,” desis Filzah di dalam hatinya.

Perlahan butang open ditekan. 


Assalamualaikum Izah. Awak apa khabar? Lama menyepi?
Ni nombor handphone saya yang baru.

~rahimi qarin~

Berombak dada Filzah melawan gelojak rasa di hatinya. Sungguh tidak disangka Rahimi Qarin akan menghantar mesej kepadanya.

Waalaikumussalam. Saya sihat saja. 

Otaknya ligat memikiri cara baginya untuk memberitahu Rahimi Qarin perihal dirinya yang telah disunting.

Baguslah. Awak sedang buat apa?
~rahimi qarin~

Takde ape.Rahimi...saya ada sesuatu nak bagitau awak...

Apa? Bagitahu lah..
~rahimi qarin~

Saya akan berkahwin tak lama lagi..saya harap awak dapat terima dan memahami takdir ini..semoga awak ketemu jodoh awak satu masa nanti...saya minta maaf semua salah silap saya sepanjang awak kenal saya....assalamualaikum..

Izah, awak jangan main-main..bernikah dengan siapa?saya kenal tak??
~rahimi qarin~

Soalan bertalu-talu dari Rahimi dibiarkan sepi. Filzah merasakan tiada keperluan baginya untuk menjelaskan segalanya pada Rahimi.

Air matanya gugur. Dadanya terasa sesak. Entah mengapa begitu sakit dirasakan.

Ya Allah...
Ampunilah dosaku..Engkau luputkanlah perasaanku terhadap Rahimi Qarin...
gantikanlah perasaan ini dengan cinta yang tidak bertepi terhadap bakal suamiku nanti..
Ya Allah yang maha mengetahui yang terbaik buatku..
berikanlah aku kekuatan dalam menghadapi semua ini....
aku yakin cinta yang Engkau pilih adalah yang terbaik buat diriku...

********

"Izah...kenapa Izah terima lamaran orang lain? Kenapa? Kenapa?"

Emosi Rahimi sungguh terganggu malam itu. Pengakuan Filzah menyentak anganannya untuk menjadikan Filzah sebagai ratu hidupnya. Terasa seolah dia kehilangan separuh dari hidupnya.

"Izah..." bayangan-bayangan Filzah memenuhi rongga fikirannya.

Sesungguhnya jauh di sudut hati kasihnya pada Filzah tidak pernah luntur. Benar dahulu dia yang mengabaikan dan membiarkan Filzah tergapai-gapai kebingungan. Dia meninggalkan Filzah tercongak-congak mencari silap diri.

Entah mengapa tegar hatinya berbuat demikian terhadap satu-satunya gadis yang berjaya mencuri hatinya. SMS dan panggilan Filzah dia abaikan sehingga satu masa Filzah tidak lagi menghantar apa-apa SMS padanya. Penyesalan yang tidak terhingga bertunas di hatinya.

Kini segalanya sudah terlambat. Filzah bakal menjadi isteri orang. Dia tiada peluang lagi.

Surat dari Filzah dibukanya semula. Dihayati tiap bait kata Filzah. Dapat dia rasakan betapa tinggi harapan yang Filzah letakkan ke atas dirinya. Kejam sungguh dirinya meninggalkan Filzah begitu sahaja.

Dan kini ketika dia mahu kembali, Filzah tidak lagi memerlukannya. Filzah tidak lagi menginginkan dirinya.

"Ya Allah...ampunkan aku kerana menyakiti hati seorang wanita yang tulus menyintaiku....berikanlah dirinya kebahagiaan yang dia layak perolehi..."

Rahimi terbaring lesu di katil. Surat di tangannya digenggam erat.

Sesalnya tidak bertepi....

********





ps: cerita ini hanya rekaan...segala kebetulan adalah sebagai penambah 'perisa' sahaja....


3 luahan rasa:

wani

kak..wat sambungan lg taw..sronok la..

Anonymous

962598

kakchik

salam ina. hebat rupanya adik sorang ni. semoga bakat menulis ina akan berkembang maju. nanti dapat terbitkan buku macam kak raihan :)

 

Followers