Buscar

Páginas

~~Cahaya Belahan Jiwa yang Terbaik~~part 6



Cahaya Belahan Jiwa yang Terbaik part 1 di sini (KLIK)
Cahaya Belahan Jiwa yang Terbaik part 2 di sini (KLIK)
Cahaya Belahan Jiwa yang Terbaik part 3 di sini (KLIK)
Cahaya Belahan Jiwa yang Terbaik part 4 di sini  (KLIK)
Cahaya Belahan Jiwa yang Terbaik part 5 di sini  (KLIK)

********

Kotak baldu berwarna merah hati bertatahkan manik putih itu dipandang sepi. Sejak semalam kotak itu berada di meja soleknya. Tidak berusik langsung walau telah dua hari berlalu.

Filzah masih terkejut dengan apa yang berlaku hujung minggu yang lepas. Mujurlah kampusnya bercuti selama seminggu untuk memberi ruang kepada pelajar untuk mempersiapkan diri untuk peperiksaan. Sekurang-kurangnya adalah masa untuk Filzah menghadam dan menerima apa yang berlaku.

“Izah,” pintu bilik dikuak dan Puan Juariah meminta izin untuk masuk. Emak duduk di kerusi meja soleknya dan mengambil kotak baldu merah hati itu.

“Izah dah buka ke kotak ni?Dari semalam mak tengok tak berganjak dari sini?” soal emak. 
Dibelek-belek kotak itu dan dibukanya.

“Cantiknya loket emas ni Izah. Ada ukiran corak love-love. Izah tengoklah,” emak cuba menarik perhatian Filzah.

Filzah masih membisu. Tidak tertarik langsung. Hanya senyuman tawar mampu dilayangkan kepada emaknya yang tercinta. Cuba melegakan hati seorang ibu tua yang faham benar gelora di hati anak gadisnya itu.

Masih terngiang-ngiang lagi di telinga Puan Juariah ratap tangis Filzah yang didengarinya tanpa sengaja lewat pagi semalam. Hatinya turut sebak kerana  dia seolah dapat merasakan kecelaruan yang bersarang dalam minda Filzah.

“Ya Allah yang Maha Mengetahui perjalanan hidupku 
semenjak aku di dalam rahim ibuku sehingga 
aku bertemu-Mu di padang mahsyar kelak,
hanya pada-Mu ku mohon petunjuk dalam aku memilih demi hidupku…
Ya Allah, 
Engkau juruskanlah hatiku kepada keputusan yang terbaik bagiku…
sesungguhnya setiap detik yang berlaku dalam hidupku 
mahupun yang bakal berlaku hanyalah dalam kekuasaan-Mu….
jika benar Bahzi Bakhtiar adalah pemilik tulang rusukku, 
Engkau cenderungkanlah hatiku terhadapnya…
dia adalah insan yang asing bagi diriku namun 
dia tidak asing bagi diri-Mu wahai Rabb ku….
Engkau mengenalinya sedalam-dalamnya 
sebagaimana Engkau mengenali diriku….
jika dia membawa kebaikan bagi diriku, 
Engkau lorongkanlah hatiku kepadanya….
jika dia membawa keburukan pada diriku, 
Engkau bawalah dia jauh dariku Ya Allah…
Ya Allah Ya Rahman..
Andai engkau jodohkan diriku dengan dirinya, 
Engkau lapangkanlah hatinya menerima segala kekurangan diriku…
Engkau buka kanlah hatiku menerima dirinya seadanya dia….
jauhilah kami dari api bisikan syaitan..
berkatilah perhubungan kami agar tercapai hasrat kami 
untuk memiliki rumahtangga yang sakinah, mawaddah dan penuh rahmat serta berkat-Mu….
Ya Allah Ya Rabbi…...
andainya kami tidak dijodohkan bersama..
Engkau jauhilah hati kami dari kekecewaan dan kemarahan serta kebencian….
tanamkanlah keredhaan dalam hati-hati kami 
agar kami tidak bersedih atas apa yang Engkau tentukan ke atas kami….
Ya Allah Ya tuhanku…
aku memohon kepadamu..
Engkau berikanlah petunjuk-Mu..
agar dapatku membuat keputusan yang terbaik bagi diriku serta dirinya….
jauhilah diriku dan dirinya dari bisikan syaitan dan desakan hawa nafsu semata….
tunjukkanlah aku jalan terbaik Ya Allah..
sesungguhnya aku hamba-Mu yang lemah..
hanya pada-Mu ku meminta dan bermohon harap…
amiin Ya Rabbal Alamin….”

Pernah Filzah bertanyakan padanya akan adakah lelaki yang sudi menerima dirinya itu yang pernah terlanjur. Puan Juariah tidak mempunyai jawapan untuk itu. Sejujurnya Puan Juariah merasa amat bersalah terhadap gadisnya itu. Sering kali dia bertanya pada dirinya adakah kekurangan ilmunya dalam mendidik anak yang menyebabkan Filzah mudah benar tersilap arah. Lemah dalam pertimbangan. Kadang kala sebak hatinya. Entah siapa yang harus dipersalahkan.

Namun begitu sejuta kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah kerana Filzah akhirnya telah berjaya membuktikan bahawa dirinya telah berubah dan Puan Juariah telah dapat memaafkan semua kesilapan yang telah Filzah lakukan. Dan bagi dirinya,walau apa pun telah Filzah lakukan, sebesar manapun kesilapan Filzah, Puan Juariah akan sentiasa menerimanya kerana Filzah lah salah satunya darah dagingnya. Lambang cinta dirinya dan suami yang dikasihi.

“Emak..” entah bila Filzah duduk di sebelahnya dia tidak tahu. Filzah memegang tangan emaknya. Lembut.

“Ya sayang..” balas emak.

“Izah rasa Izah perlukan masa untuk buat keputusan ni.Emak pun tahu kan ni melibatkan masa depan Izah. Izah bakal menghabiskan seluruh hidup Izah bersamanya. Jadi Izah rasa Izah perlu berfikir semasak-masaknya. Rahimi pun…”

“Izah, emak tahu Izah sayangkan Rahimi. Emak pun suka sangat pada Rahimi. Baik budaknya.Tapi…dalam hidup ni kadang-kadang tak semestinya apa yang kita mahu tu kita akan dapat. Lagi-lagi kalau soal jodoh ni. Dah ada seorang lelaki yang baik datang merisik Izah tanpa Izah mengenali dia. Mesti ada sebab disebaliknya. Ada hikmah yang tersembunyi. Izah pun dah dewasa kan. Mesti dapat fikir. Rahimi tu Izah dah lama kenal, tapi Izah pun tak tahu kan sama ada dia nak atau tak memperisterikan Izah,kan? Kenapa ditunggu sesuatu yang tak pasti andai di depan mata dah ada yang menanti. Ketepikan soal perasaan tu, sebab perasaan boleh dibentuk. Bahzi tu pun emak tengok, tak kurang baiknya. Memang bersungguh dia tu mahukan Izah sampai berani datang merisik..ambil risiko andai Izah menolak…kadang-kadang kesungguhan tu boleh dibuktikan melalui perbuatan..bukan hanya sekadar kata-kata di bibir…Izah berdoa lah banyak-banyak moga diberikan petunjuk. Walau apa pun keputusan Izah…emak terima…emak dan abah sentiasa ada untuk memberikan nasihat andai Izah memerlukan. Ya sayang…” harapan Puan Juariah agar kata-katanya dapat meleraikan sedikit kekusutan di minda Filzah.

“Baiklah emak. Terima kasih banyak-banyak sebab memberi ruang pada Izah untuk berfikir. Insya-Allah apa juga keputusan yang Izah akan buat berdasarkan petunjuk dari Allah kerana Izah yakin itulah jawapan yang terbaik. Sebagaimana Bahzi meminta melalui istikharahnya, Izah juga akan melakukan yang sama. Izah takkan menolak andai jawapannya ialah Bahzi. Soal Rahimi, mungkin ada yang yang lebih baik untuknya di luar sana. Tapi kalau jawapan yang Izah dapat bukanlah Bahzi, Izah terpaksa menolak. Izah harap emak faham ya,” jelas Izah sambil mengusap-usap tangan emak kesayangannya itu.

“Yalah Izah, emak faham,” Puan Juariah hanya senyum memandang Filzah.

“Izah jom kita keluar makan cendol. Emak teringinlah pula,” pelawa Puan Juariah secara tiba-tiba. Mahu menghibur hati anaknya itu.

“Boleh jugak. Jom….” balas Filzah dengan senyuman seikhlas mungkin.


********




“Alhamdulillah syukur pada-Mu Ya Allah mampu juga bagi diriku yang lemah ini untuk menghabiskan peperiksaan akhir semester ini. Semoga Engkau memberikan aku keputusan yang terbaik. Sesungguhnya hanya pada-Mu ku berharap setelah segala usaha yang telah ku curahkan. Amin Ya Rabbal Alamin,” doa Filzah di dalam hati. Segala alatan tulis disimpan. Dengan ucapan bismillah Filzah melangkah keluar dari dewan peperiksaan.

Girang hatinya kerana peperiksaan akhirnya telah tamat. Sedar tak sedar sudah 5 semester Filzah lalui. Hanya tinggal 3 semester sebelum dia berjaya menggenggam segulung ijazah. Filzah tersenyum sendirian.

“Astaghfirullahalazhim..” hampir terkeluar jantung Filzah apabila disergah oleh rakan sekelasnya ketika sedang mencari-cari beg yang diletakkan di luar dewan.

“Ya Allah… Min, terkejut Izah ni…mujur kita takde sakit jantung…kalau tak tak pasal-pasal Min kena bawak Izah pergi Hospital Kajang,” Min tergelak besar sehingga keluar air mata.

Filzah hanya menggeleng kepala. Begitulah gelagat rakan kuliahnya yang paling rapat dengannya. Min memang kuat mengusik. Memang tak kering gusi andai mereka berdua berbual. Walaupun begitu Filzah sering kali memilih untuk melakukan tugas berkumpulan bersama Min kerana di sebalik sikap Min yang gila-gila ceria itu, Min memang serius dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran. Tidak hairanlah setiap semester Min pasti memperoleh Anugerah Dekan.

“Kau ni Izah, cepat betul keluar dewan. Jalan pulak laju je macam nk kejar tren. Kenapa? Apa yang kau kejarkan?,” soal Min setelah ketawanya reda.

“Izah nak balik lah Min…emak dah tunggu kat rumah tu. Dia pesan balik terus lepas exam…katanya nak bincang sedikit,” balas Filzah.

“Bincang? Pasal apa? Temankanlah aku dekat café sekejap. Tak lama,aku janji,”

“Yelah….sekejap je tau,” Filzah meminta kepastian.

Mereka mengambil tempat duduk di café setelah membeli minuman masing-masing.

“Hal apa yang mak kau nak bincang sangat tu?Macam penting sangat je,” Min cuba mengorek rahsia. Dapat dia rasakan ada satu hal yang besar sedang berlaku dalam kehidupan sahabatnya itu.

“Sebenarnya Min…eheem..malu lah Izah nak cakap,”

“Lah engkau ni macam la baru sehari kawan dengan aku. Dah 2 tahun lebih dah tau. Ceritalah cepat. Karang engkau jugak yang nak balik cepat-cepat,”

“Ish, yelah-yelah. Sebenarnya kan Min…dah ada orang merisik Izah. Takde siapa-siapa pun tahu pasal ni kecuali keluarga Izah. Min jangan bagitahu sesiapa ya,” ujar Filzah perlahan. Bimbang ada orang yang dikenali terdengar perbualan mereka.

“APA??!!” semua mata di dalam café memandang kearah mereka.

“Ish apa Min ni menjerit pulak. Bukan Izah cakap Izah dah nak kahwin pun. Baru merisik je. Kenapa terkejut sampai macam tu?,”

“Rahimi ke yang merisik tu Izah? Amboi takde hujan takde ribut terus masuk merisik?,” tanya Min. Sambil tergelak-gelak menyedari kesilapan dirinya menjerit secara tiba-tiba.

“Bukan Rahimi..tapi orang lain..dah tiga minggu mereka tunggu jawapan dari Izah. Izah minta tempoh sehingga habis peperiksaan. Hari ni kena la Izah bagi jawapan nampaknya,”

“Ha? Serius ni? Orang tu kau kenal ke tak? Macam mana pulak boleh tiba-tiba je datang merisik?” soal Min kebingungan.

“Izah tak kenal tapi dia kawan baik dengan suami kakak angkat Izah. Bahzi nama dia. Izah pun tak dapat lagi cam muka dia macam mana sebab sekejap je Izah tengok dia hari tu. Kakak angkat Izah kata Bahzi berkenan dengan Izah dah lama tapi baru sekarang dia rasa bersedia untuk cuba merisik Izah,”

Min mengangguk faham. “Habis tu kau nak terima ke?”

“Mula-mula Izah pun keliru tapi setiap malam Izah buat istikharah minta petunjuk dari Allah. Dan Izah dapat rasakan kecenderungan hati Izah terhadap Bahzi. Jadi Izah akan terima risikan ni,” kata Izah dengan penuh yakin.

“Wah taklama lagi merasa la aku makan nasik minyak ye..sedapnyaa la,” ujar Min sambil membuat aksi menggosok-gosok perut. Keduanya tertawa.
"Hensem ke?" soal Min masih belum berpuas hati.

"Erm...hensem la jugak kot," Izah cuba mengingati wajah Bahzi. Masih samar-samar.

"Eiiii kau ni..beruntung la ade lelaki hensem nakkan kau," balas Min selamba.

"ADUUUH!!" sekali lagi mereka menjadi perhatian apabila Min menjerit. Sakit apabila cubitan Filzah terkena lengannya.

"Hish kau ni Izah. Habislah laki kau nanti kena cubit je selalu. Memang dasar ketam muslimah," rungut Min sambil menggosok-gosok lengannya yang terasa pedih.

"Padan muka, siapa suruh kutuk Izah," Filzah hanya tertawa. 

Faham benar dengan sikap rakannya itu yang bercakap ikut sedap mulut sahaja. Sedikit pun Filzah tidak kecil hati dengan kata-kata Min kerana dia tahu itu sekadar gurauan. Paling kerap dia dipanggil ketam muslimah kerana walaupun dirinya bertudung labuh tapi tangannya pantas sahaja mencubit andai Min mengusiknya.Sungguh bertuah Filzah rasakan kerana mempunyai teman seperti Min yang sentiasa menghiburkan hatinya.

Sampai sahaja di perkarangan rumah Filzah melihat kereta abahnya sedia terparkir di hadapan rumah.

"Awal pulak abah balik hari ini," tanya Filzah dalam hati.

"Assalamualaikum.."

"Waalaikumussalam.." balas kedua orang tuanya serentak.

"Izah mari lah duduk sini. Izah ada janji kan dengan mak dan abah," pelawa Puan Juariah.

Izah hanya tersenyum simpul. Entah bagaimana dia hendak memulakan. Terasa malu pun ada juga.

"Hah, habis tu apa keputusannya Izah? Orang belah sana dah menanti. Tadi baru emaknya Bahzi menelefon emak kamu ni," tegas Encik Kamal memulakan bicara. Pandangannya dihalakan tepat ke wajah Filzah.

"Apa pun keputusan Izah, harapnya emak dan abah terima ya," ujar Filzah memulakan bicara. Jantungnya berdegup kencang.

"Yelah, kami ikut sahaja keputusan Izah. Tanggungjawab abah untuk mengahwinkan kamu dengan jodoh yang terbaik tetapi persetujuannya tetap datang dari kamu..." ujar abah tenang.

"Bismillahirrahmanirrahim...," bisik Filzah dalam hati.

"Izah bersetuju untuk terima lamaran ni. Selepas ni terpulang pada mak dan abahlah berkenaan urusan seterusnya.Bincanglah apa yang patut, Izah akan ikut sahaja," balas Filzah penuh yakin. Setenang mungkin.

Filzah melihat senyuman kelegaan di wajah kedua orang tuanya itu. Filzah turut tersenyum. Yakin keputusannya disokong penuh oleh kedua insan terpenting dalam hidupnya itu.

"Alhamdulillah..mudah-mudahan segala urusan akan dipermudahkan,"

"Sayang, awak nanti telefonlah mak Bahzi tu sampaikan berita gembira ni..terpulang pada mereka bila nak masuk meminang," ujar Encik Kamal kepada isterinya.

"Memang saya dah janji pun nak telefon kak Tijah malam ni. Saya tau anak kita ni akan bagi jawapan hari ni jugak," meleret senyum emak. Gembira bakal menerima menantu barangkali.

"Mak, Abah...Izah minta diri nak masuk bilik dulu ya. Penat la pulak rasanya," Filzah meminta kebenaran untuk beredar. Pipi kedua orang tuanya dikucup sebelum dia naik ke biliknya.

Filzah mengambil kotak baldu di meja soleknya. Ditatap loket emas yang dihantar sebagai tanda merisik,menggantikan cincin. Emaknya mengatakan Bahzi menghantar loket emas sebagai ganti cincin kerana tidak mengetahui saiz jari Filzah.

"Kreatif juga bakal suami aku ni," bisik Filzah didalam hati.

Loket kecil berukiran berbentuk hati itu disambung ke rantai emas hadiah dari ibunya dan dipakai di leher milik Filzah. Tanpa disedari terukir satu senyuman di wajahnya.

********


bersambung....(KLIK)


ps: cerita ini hanya rekaan...segala kebetulan adalah sebagai penambah 'perisa' sahaja....
pss: part 6 ni agak pendek...esainmen banyak.... (◕‿◕✿)

1 luahan rasa:

sari

dah baca...terbaik!

 

Followers