Cahaya Belahan Jiwa yang Terbaik part 1 di sini (KLIK)
Cahaya Belahan Jiwa yang Terbaik part 2 di sini (KLIK)
********
"Allahu Akbar...penat sungguh hari ni," keluh Filzah sambil menanggalkan tudung hijau mudanya. Hari khamis adalah hari yang paling padat jadual kelasnya. Filzah sedari kecil sudah bercita-cita menjadi seorang pendidik yang dapat berbakti kepada anak bangsanya. Sungguh hatinya terusik andai melihat ada anak-anak muda yang mengabaikan pelajaran mereka demi keseronokan masa remaja. Filzah teramat bersyukur dia dibesarkan dengan kemudahan menuntut ilmu yang baik sehingga berjaya menjejakkan diri ke universiti dan mengambil jurusan yang menjadi cita-citanya sejak sekian lama. Filzah merehatkan diri di atas tilam empuk. Haruman aromaterapi bauan ros amat menenangkan jiwanya.
"Izah,Im rasa Im tertarik dengan Izah. Sejak kali pertama Im nampak Izah, hati Im rasa lain. Setiap kali habis waktu persekolahan Im akan tunggu Izah dekat bus stop. Im suka tengok wajah Izah yang tenang setiap kali Izah berjalan balik ke rumah. Hati Im ingin sangat nak tegur Izah tapi Im malu dan takut andai Izah terus lari dari Im. Setiap hari Im cuba kumpul kekuatan nak menegur Izah. Hari tu akhirnya Im rasa Im dah berani nak tegur Izah. Tapi bila Im baru je nak bangun nak pergi dekat Izah, Izah terus pengsan. Terus Im bawa Izah ke hospital. Risau sangat Im masa tu," jelas Azhim jujur kepada Filzah lewat panggilan telefon pada malam itu. Selepas pertemuan pertama mereka di rumah Filzah, Azhim mula berani menelefon Filzah yang telah lama dieperhatikannya.
Hati Filzah berbunga riang. Seronoknya tidak terkata. Siapa sangka perasaannya pada penyelamatnya itu bukanlah perasaan yang hanya bertepuk sebelah tangan. "Mungkin inilah dinamakan cinta pandang pertama," desis Filzah di dalam hati. Debaran dadanya tiada terkawal lagi. Dan Filzah juga yakin Azhim merasakan yang sama, kedengaran getaran di suara Azhim. Senyuman manis terukir di bibir Filzah. Terbayang wajah pemuda bermata redup itu di tubir minda Filzah.
" Izah nak ucapkan berbanyak-banyak terima kasih pada Im sebab membantu Izah masa Izah pengsan tu. Kalau Im tiada Izah tak tahu apa yang akan berlaku pada Izah. Pasal perasaan Im tu, Izah mengakui Izah mungkin merasakan perasaan yang sama," tiba-tiba lidah Filzah seakan kelu dan dia hanya membisu. Terasa wajahnya kepanasan dek rasa malu.
Keduanya hanya diam membisu sehinggalah Azhim memecah kesunyian, " Terima kasih Izah, Im rasa bahagia sangat dengan pengakuan Izah. Im janji Im akan bahagiakan Izah. Percayalah pada Im," janji Azhim pada Filzah. Termeterai janji dua insan yang hangat dilambung gelora cinta.
Setiap hari Azhim menghantar Filzah pulang ke rumah usai waktu persekolahan. Perasaan Filzah terhadap Azhim semakin hari semakin menebal. Azhim pula semakin kelihatan sempurna pada mata Izah. Azhim seorang lelaki yang sangat romantis. Jiwa Filzah sering terbuai dengan kata-kata Azhim. Serasa dirinya adalah wanita yang paling bertuah kerana berjaya memiliki hati Azhim.
Tanpa Filzah sedari, dia semakin hanyut dengan anganan cinta sehingga terabai pelajarannya. Keputusan peperiksaan pertengahan tahunnya menunjukkan penurunan yang drastik hingga dia dipanggil ke bilik akademik oleh gurunya. Malam-malam Filzah banyak dihabiskan di telefon bersama kekasih hatinya. Waktu ulangkajinya makin berkurangan digantikan dengan ingatan terhadap Azhim.
Nasihat dari sahabat tidak Filzah hiraukan. "Mereka ni mesti cemburu dengan aku sebab mereka tiada pakwe," seringkali Filzah berkata pada diri sendiri apabila ada antara kawan sekelasnya yang menasihati Filzah agar tidak terlalu asyik dengan cinta. Rakan-rakannya bimbang andai Filzah terlalu asyik sehingga melupakan pelajaran sedangkan mereka sedang dalam persediaan untuk mengambil PMR pada tahun hadapan. Filzah merupakan seorang yang bijak dan sering menjadi rujukan rakan-rakannya andai mereka menghadapi masalah dalam pelajaran. Perubahan mendadak pada diri Filzah disedari oleh mereka.
Akhirnya keputusan peperiksaanya sampai ke pengetahuan emak dan abah. Alangkah terkejutnya Encik Kamal dan Puan Juariah apabila melihat 4 dari 9 subjek yang diambil anaknya ditanda dengan pen merah menandakan Filzah mendapat gred E. Tergambar kekecewaan Puan Juariah. Tiada kata yang terzahir darinya, hanya air mata yang kelihatan diseka dengan lengan baju. Dalam menahan kemarahan Encik Kamal bertanya apakah puncanya kemerosotan pelajaran anak tunggalnya itu.
Filzah hanya membatu. Setiap asakan soalan dibiarkan seolah-olah dia tidak mendengar apa-apa. Dia hanya menunduk ke lantai sambil menguis-nguis kaki di permaidani berwarna biru itu. Hatinya terasa keras. Yang ada dalam fikirannya cumalah tidak sabar mahu masuk ke biliknya untuk menelefon Azhim. Terasa rindu kerana tidak berjumpa di sekolah dek kerana Azhim tidak hadir ke sekolah.
Helaan nafas kelegaan dilepaskan apabila emak mengajak abah untuk masuk tidur. Kecewa sungguh keduanya dengan anak gadis mereka sejak akhir-akhir ini. Perubahan sikap Filzah yang mendadak membingungkan hati tua mereka. Filzah yang ceria dan ramah kini menjadi dingin dan hanya berkurung dalam biliknya siang dan malam. Filzah juga berani memonteng kelas tambahan dan tidak menyiapkan kerja rumah. Encik Kamal dan Puan Juariah telah kehabisan ikhtiar mahu menyelesaikan masalah anak mereka yang seorang itu.
Riang hati Filzah kerana akhirnya dia terlepas dari bebelan orang tuanya.Tanpa berlengah Filzah berlari-lari anak masuk ke biliknya dan mencapai telefon bimbit di atas katil. Nombor telefon Azhim dihubungi. Riang suaranya memberi salam pabila Azhim menjawab panggilannya. Dan seperti biasa perbualan berlanjutan hingga lewat pagi.
Keesokan harinya Filzah ke sekolah seperti biasa. Tidak lupa pakaian tambahan dibawa kerana dia mempunyai temu janji untuk menonton wayang bersama Azhim selepas waktu persekolahan. Filzah tidak lagi berani memonteng sekolah kerana telah diberi amaran oleh guru disiplin dan jika dia ingkar, emah abah Filzah akan dipanggil ke sekolah. Filzah tidak larat mendengar omelan kedua orang tuanya. Rimas. Sebelum ini beberapa kali Filzah dan Azhim berpakat untuk sama-sama ponteng sekolah dan keluar bersama sehingga tamat waktu persekolahan. Wajah Azhim dan Filzah yang kelihatan lebih matang dari usia berjaya mengelakkan syak apabila mereka menghabiskan masa di pusat membeli belah pada waktu persekolahan.
Tiada sekelumit pun rasa bersalah di hati Filzah kerana telah menipu kedua orang tuanya. Keseronokan yang diberikan oleh Azhim mengaburi akal waras Filzah. Menonton wayang adalah saat yang paling Filzah gemari kerana pada ketika itu dia dan Azhim akan bebas melakukan apa sahaja kerana keadaan yang gelap. Dan kebiasaan mereka menonton wayang pada hari persekolahan pada ketika tiada ramai orang menonton wayang menjadikan mereka semakin seronok dan bebas. Keasyikan melayan nafsu menjadikan Azhim dan Filzah terlupakan dosa dan pahala. Sungguh dalam mereka hanyut dalam cinta mereka.
Pujuk dan rayu dari Azhim menjadikan Filzah semakin seronok. Pujian demi pujian dari bibir manis Azhim membuatkan Filzah lupa akan harga diri yang wajib dia pertahankan sebagai seorang wanita. Dan setiap kali pulang, Filzah merasa bangga kerana dapat memberikan kebahagiaan kepada Azhim. Dia yakin bahawa Azhim akan menikahinya pada satu hari nanti.
Azhim menghantar Filzah hingga ke pintu pagar rumahnya. Azhim mengucup tangan Filzah sebagai tanda mengucapkan terima kasih kepada Filzah. Senyuman terukir di wajah keduanya.
Baru sahaja Filzah melangkah keluar dari kereta, terasa tangannya ditarik oleh seseorang. Rupa-rupanya Encik Kamal telah menyaksikan drama percintaan Filzah dan Azhim. Jerkahan dari Encik Kamal mengejutkan Azhim. Dalam ketakutan dan kekalutan Azhim memecut keretanya dan terus hilang dari pandangan.
Di ruang tamu,Filzah hanya mampu menangis apabila Puan Juariah mengajukan soalan-soalan yang bertalu-talu. Kelihatan Encik Kamal duduk sambil bibirnya terketar-ketar menahan kemarahan.
" Izah,kenapa Izah malukan mak dan abah?Izah tak sayangkan kami lagi ke?Kenapa Izah?Jawablah mak tanya ni Izah. Kami sayangkan Izah,kami hantar Izah ke sekolah untuk Izah banggakan kami. Tapi apa Izah buat. Mak dapat panggilan dari cikgu Izah mengatakan Izah sering ponteng sekolah dan Izah seolah-olah tidak mahu belajar lagi. Cikgu bertanyakan apakah Izah mempunyai masalah di rumah. Emak malu Izah bila Izah macam ni. Mak sangka mak dah didik anak mak ni dengan baik. Tapi rupanya di belakang mak, Izah buat macam-macam. Bagitahu mak Izah,berapa lama dah Izah ngan Azhim bercinta? Apa lagi yang Izah dah buat yang mak abah tak tahu?Cakap Izah....Cakap..Beritahu pada mak ni....Ni mak Izah ni...Cakaplah Izah..Cakap...," ujar Puan Juariah diselangi dengan esak tangis. Hancur sungguh hatinya melihatkan perbuatan Izah.
Filzah yang semakin tertekan dan ketakutan tiba-tiba bangun hendak menuju kebiliknya. Puan Juariah menahan Filzah dari pergi. Puan Juariah menggesa Filzah menjawab soalannya, " Izah,kenapa Izah malukan mak dan abah?Izah tak sayangkan kami lagi ke?Kenapa Izah?Jawablah mak tanya ni Izah," Puan Juariah cuba memegang bahu Filzah. Filzah menepis tangan emaknya sehingga emak terjatuh di lantai. Emak memegang kaki Filzah sambil menangis. Encik Kamal tidak dapat lagi mengawal perasaan.
PANG!! Sebuah tamparan mengenai pipi mulus Filzah. Tergamam Puan Juariah kerana selama 15 tahun perkahwinan mereka tidak pernah sekali pun dia melihat suaminya memukul Filzah.
Filzah yang terkejut terus berlari menuju keluar sambil menangis. Selipar disarungkan dan dia berlari menuju ke rumah Azhim yang hanya berselang 2 lorong dari rumahnya. Puan Juariah mahu mengejar anak gadisnya itu tapi ditahan oleh Encik Kamal. Tergambar kemarahan di mata Encik Kamal. Puan Juariah merasakan di hadapannya itu bukanlah Encik Kamal yang dikenalinya selama ini.
Filzah mengetuk tingkap bilik Azhim yang berada di tingkat bawah. Mujurlah Azhim belum tidur lagi. Azhim mengajak Filzah masuk ke rumahnya.
"Im, Izah takut Im.Izah takut nanti abah apa-apakan Im. Izah sayang Im. Im takkan tinggalkan Izah,kan?" kata Izah sambil memeluk Azhim yang memujuknya agar berhenti menangis.Azhim mengusap-usap rambut Filzah dengan harapan dapat meredakan tangisan Filzah yang semakin galak. Filzah menceritakan segala yang berlaku dalam esak tangis dan Azhim hanya mendengar.
" Izah sayang, kan Im da janji Im takkan sia-siakan Izah. Im sayang Izah. Im janji Im akan jaga Izah baik-baik. Mama dan papa Im pergi outstation minggu ni. Izah boleh tumpang rumah Im. Im takkan benarkan Izah balik ke rumah abah dan emak Izah. Mereka dah sakitkan kekasih hati Im ni. Berhenti menangis ya sayang. Im jaga Izah. Im janji." pujuk Azhim.
Tangisan Filzah kian surut. Dia semakin tenang. Filzah meleraikan pelukannya dan memandang wajah Azhim. Bahagia kerana terasa dilindungi oleh kekasih hatinya.Sejuk hatinya melihat senyuman di wajah Azhim. Terasa dirinya adalah wanita yang paling beruntung.
"Im, Izah nak mandi boleh tak?" tanya Filzah apabila merasakan badannya melekit dek peluh.
Azhim sekadar mengangguk dan memberikan tuala serta pakaiannya kepada Filzah. Dengan senyuman bahagia, Filzah pergi ke bilik air untuk mandi. Ketika Filzah mandi, Azhim mula merangka strategi untuk mendapatkan perkara yang dia idamkan selama ini. Terasa malam ini adalah yang paling sesuai untuknya. Senyuman nakal terukir di bibir Azhim.
Terdengar bunyi pintu bilik air dikuak. Filzah keluar dengan pakaian yang diberikan Azhim tadi. Lain benar kelihatan Filzah pada pandangan Azhim. Otak Azhim semakin ligat merancang strategi.
"Sayang, mari sini dekat Im sekejap," panggil Azhim. Filzah hanya menurut. Dia duduk di sisi Azhim di atas sofa.
"Sayang, sayang tahu kan Im cintakan sayang lebih dari segalanya. Im nak jaga sayang sampai bila-bila," ucap Azhim sambil memegang tangan Filzah. Filzah hanya mengangguk dengan senyuman.
Azhim merasakan jeratnya hampir mengena. Filzah membalas sentuhan Azhim dan melemparkan senyuman yang paling manis buat Azhim. Senyuman balas dari Azhim mengandungi seribu satu maksud tersirat.
"Izah! Dah solat ke belum? Turun makan ya sayang," laungan Puan Juariah mematikan lamunan Filzah. FIlzah beristighfar. Masih jelas lagi di ingatannya peristiwa yang merubah hidupnya buat selamanya. Tanpa disedari air mata telah membasahi matanya. Kesal.
Dia bingkas bangun menuju ke bilik air untuk berwudhuk untuk menunaikan solat Isyak.
Dia bingkas bangun menuju ke bilik air untuk berwudhuk untuk menunaikan solat Isyak.
Ya Allah Ya Tuhanku, ampunkanlah dosaku yang banyak ini Ya Allah...
Engkau ampunkan jua dosa kedua ibu bapaku serta peliharalah
mereka sebagaimana mereka telah memelihara aku sedari kecil lagi...
Ya Allah Ya Rabbi sesungguhnya aku hambaMu yang hina ini
sangat bersyukur atas kurniaMu yang telah memberikan aku peluang kedua...
Sesungguhnya Engkau adalah yang maha Pemurah lagi maha Pengasih..
Hanya padaMu aku mohon perlindungan dari syaitan yang direjam
dan kekalkan aku dalam jalan yang Engkau redhai....
Kurniakanlah aku kehidupan yang lebih baik dari sebelumnya....
Engkau tabahkanlah hatiku Ya Allah dalam aku melalui
segala dugaan dariMu...
Engkau pimpinlah diriku ini dan janganlah Engkau biarkan aku terleka...
Sesungguhnya aku menyesal atas segala perbuatanku dan hanya padaMu ku meminta pengampunan...
Amin Ya Rabbal Alamin.
Usai berdoa, Filzah melipat sejadahnya dan melipat kemas telekung pemberian emaknya. Dia segera mengemaskan diri dan turun untuk makan malam. Dia menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya perlahan-lahan. Dia melihat di cermin untuk memastikan tiada air mata yang tersisa. Tidak mahu menambah gusar di hati kedua orang tuanya. Dia yakin emak dan abahnya telah menunggu di bawah untuknya.
********
bersambung....(KLIK)
0 luahan rasa:
Post a Comment