"Izah....", Filzah mendongak apabila mendengar namanya dipanggil. Sedikit terganggu dengan panggilan tersebut. Konsentrasi terhadap pembacaanya menjadikan Filzah seakan berada di satu dunia asing. Hanya dia dan bukunya. Naskhah buku bertajuk "Rabiatul Adawiyah : Perindu Cinta Abadi" yang dipegangnya itu sangat memberi kesan terhadap dirinya. Berulang kali kisah itu dibacanya tanpa jemu.
Kelihatan emaknya menguak pintu kamarnya yang bewarna ungu itu. Di tangan emak kelihatan bungkusan berbalut kertas merah muda bercorak rama-rama. Senyuman manis terukir di wajah jernih emak.
"Ni untuk Izah," ujar emak sambil menyerahkan bungkusan tersebut kepada Filzah. Filzah menerima dengan wajah yang berkerut. Emak tersenyum meleret.
"Untuk apa ni mak?" soal Filzah kehairanan. Ligat otaknya memikirkan mengapa tiba-tiba emak memberikan hadiah kepadanya. Dibelek-belek bungkusan tersebut. Kelihatan sekeping kad berwarna merah muda dengan corak bunga-bunga kecil berwarna biru. "Comelnya", getus hati kecil Filzah.
Dibuka kad tersebut dengan penuh hati-hati. Dibaca ucapan yang tertulis di dalam kad.
Ke hadapan Nur Filzah Uzma permata hati emak dan abah,
Selamat ulangtahun kelahiran yang ke 20,sayang...
Harapan abah dan emak supaya Izah sentiasa berada di bawah lindungan yang Esa....
Sepertinya baru semalam kami memegang Izah di pangkuan kami....
Tidak emak dan abah sedari begitu cepat Izah membesar....
Masih jelas di ingatan kami betapa kecilnya anak emak dan abah pada ketika itu..
Kelahiran Izah menjadi penguat cinta emak dan abah...
Dan lahirnya Izah mengubat sedikit kesedihan di hati emak dan abah apabila kami kehilangan anak pertama kami ketika kandungan emak berusia 4 bulan....
Apabila mengetahui berita gembira bahawa emak hamil sekali lagi abahlah insan yang paling gembira...
Dipeluk cium emak di hadapan doktor ...
Tersipu-sipu emak diperlakukan sebegitu...
Di saat itu emak sedar bahawa Izah amatlah penting pada abah...
Oleh kerana itu Izah kami tatang bagai minyak yang penuh..
Dan sungguh kami bersyukur Izah kami membesar menjadi seorang muslimah yang solehah...
Izah sayang,
Emak tahu sepanjang perjalanan hidup Izah..
Beberapa kali Izah tersadung dan jatuh..
Pernah juga emak mendengar esak tangis Izah di tengah malam...
Menyesali semua kesilapan dan kesalahan yang pernah Izah lakukan...
Tidak pernah sekalipun dalam hati emak dan abah menyimpan rasa benci atau kemarahan pada Izah..
Yang lepas itu telah berlaku dan jadikanlah ia panduan dalam kehidupan Izah...
Dan untuk pengetahuan Izah..
Tidak pernah putus emak dan abah berdoa agar Izah terus tabah menghadapi dugaan dalam kehidupan..
Kami sentiasa di belakang Izah menyokong Izah...
Kami yakin kini anak kami cukup matang untuk memilih yang terbaik untuk dirinya sendiri...
Emak abah sedar yang anak kami sekarang sudah dewasa dan kami harus perlahan-lahan melepaskan Izah belajar hidup sendiri..
Emak abah juga sedar yang kehidupan kami semakin singkat dan mungkin sahaja dijemput Pencipta pada bila-bila masa sahaja...
Andainya Dia menjemput kami ke pangkuan-Nya, emak abah akan pergi dengan tenang...
Kerana emak dan abah yakin Izah kini adalah Izah yang berbeza...
Izah yang lebih bersedia menghadapi badai kehidupan...
Emak dan abah sangat berbangga dengan Izah..
Semoga hari esok menjanjikan kebahagiaan yang berpanjangan buat Izah yang sangat emak dan abah sayangi..
Emak abah doakan Izah akan terus berada di jalan yang diredhai-Nya...
Emak yakin akan ada kebahagiaan buat Izah pada suatu masa nanti...
Yakinlah sayang...
Allah itu maha Adil dan Dia sangat menyayangi hamba-Nya yang tidak jemu meminta pada-Nya..
Teruskan berdoa ya sayang...
Semoga doamu dimakbulkan Allah....
Amin...
Selamat Hari Ulangtahun dari emak dan abah....
Dengan ingatan penuh cinta,
Emak dan Abah
Setitis demi setitis air mata Filzah gugur. Dipeluk emak yang sedang duduk di birai katil. Sungguh hatinya tersentuh dengan kata-kata tulus dari kedua orang tuanya. Hangat terasa pelukan seorang emak.
"Mak, Izah minta ampun dari mak andai ada menyakiti mak sepanjang 20 tahun Izah menjadi anak mak. Izah tahu Izah pernah tersilap dan meremukkan hati mak dan abah. Tetapi mak percaya kan Izah dah berubah? Izah berusaha nak jadi anak yang baik untuk mak dan abah. Izah tak mahu tengok emak menangis kerana Izah lagi. Izah sayang mak. Izah sayang abah. " ucap Filzah tulus sambil mendakap emaknya. Puan Juariah turut menangis mendengar ucapan anak tunggalnya itu.
"Sayang, mak sudah lama maafkan Izah. Mak tahu anak mak ni baik. Mak sayang Izah juga." Puan Juariah seakan kematian kata-kata. Diusap rambut Filzah. Basah bahunya dek air mata Filzah. Dibiarkan Filzah menangis di bahunya.
Setelah tangisannya reda, Filzah meleraikan pelukan dan terus berbaring di riba Puan Juariah. Filzah merasakan satu perasaan yang amat lama tidak dirasakannya. Dia berasa sungguh tenang dan selamat. Seingatnya sudah lama dia tidak mendakap emaknya. Malu mungkin tapi entah mengapa malam ini terasa ingin bermanja dengan emak. Digenggam erat tangan emak yang telah membesarkannya dan dikucup berkali-kali. Mindanya melayang mengingati memori di satu ketika dahulu. Tidak disangka hampir 6 tahun peristiwa itu berlaku.
Kepala Filzah terasa berat. Badannya terasa melayang-layang dan matahari terasa amat dekat. Panas dan perit tekaknya. Langkahnya tidak teratur lagi. Filzah terlihat perhentian bas semakin hampir. Filzah menarik nafas panjang dan dengan saki baki tenaga yang ada dia memanjangkan langkah. Hajat dihatinya hendak berehat seketika sebelum menyambung perjalanan untuk balik ke rumah. Tidak sabar rasanya Filzah hendak melabuhkan punggungnya di tempat duduk perhentian bas itu dan meneguk sedikit air.
Filzah terasa matanya tiba-tiba gelap. Dunia seakan berpusing dengan sangat laju. Filzah tersungkur di bahu jalan. Hendak bangun tapi entah kenapa dia berasa tidak berupaya langsung. Dia memegang kepalanya yang sakit.
Filzah terasa seperti berada di dunia yang asing. Dia lemas. Hendak bersuara suaranya seakan tersekat di kerongkong. Hendak bangun terasa kebas seluruh tubuhnya.
Tiba-tiba Filzah merasakan badannya digoncang. Suara emaknya sayup-sayup kedengaran. "Izah...Izah..bangun sayang..bangun...mak ni..mak datang ni..bangunlah Izah." rayu Puan Juariah diselangi dengan esakan.
Filzah cuba membuka mata perlahan-lahan. "Mak...Izah dekat mana?" perlahan suara Filzah kedengaran. Puan Juariah segera menekan loceng memanggil jururawat yang bertugas. Puan Juariah mengusap kepala anak kesayangannya. Panas badan Filzah yang semakin surut melegakan hatinya. Naluri hati keibuannya tersentuh melihat anak tunggalnya itu terbaring lesu. Penyesalan timbul di hatinya kerana membiarkan Filzah berjalan kaki ke sekolah. Filzah hanya berusia 14 tahun. Mujurlah tiada apa yang lebih teruk berlaku.
Apabila jururawat selesai meneliti laporan kesihatan Filzah dan menulis sesuatu pada fail tersebut, Puan Juariah segera bertanyakan keadaan Filzah. Alangkah lapangnya hati Puan Juariah. Filzah cuma mengalami dehydration dan boleh pulang sebaik sahaja suhu badannya kembali normal. Mujurlah Filzah cuma ditempatkan di wad pemerhatian di bahagian wad kecemasan. Mudah sedikit prosedurnya.
Petang itu Filzah dibenarkan pulang. Terpancar keceriaan di sebalik wajah pucat Filzah. Riang hatinya dapat pulang ke rumah. Filzah sememangnya tidak menyukai hospital semenjak dari kecil lagi. Puan Juariah yang sedia maklum akan fobia Filzah yang satu itu sekadar mampu menggeleng kepala apabila melihat Filzah seperti tidak sabar-sabar mahu keluar dari hospital.
Sepanjang perjalanan ke rumah, minda Filzah cuba mengingati bagaimana dia boleh berada di hospital. "Mak, macam mana Izah boleh ada dekat hospital mak?" tergerak hatinya untuk bertanya pada emak.
"Oh, ada seorang budak sekolah Izah bawak Izah ke hospital dengan kereta dia. Senior agaknya. Tak silap mak dia kata dia berada di Tingkatan 6 atas. Sekejap aje mak jumpa dia. Tapi mak ada jemput dia ke rumah kita hujung minggu ni. Mak nak masak sikit dan jamu dia sebagai tanda terima kasih," ujar emak. Filzah hanya mendengar dan mengangguk. Tanpa sedar dia terlena di dalam kereta.
Hujung minggu yang dinantikan pun tiba. Sungguh Filzah tidak sabar menanti kehadiran penyelamatnya itu. Sepanjang minggu Filzah asyik terfikirkan tentangnya.
Kesibukan menyediakan juadah menyebabkan Filzah terlupa melihat jam. Tiba-tiba kedengaran loceng pintu dibunyikan.
"Alamak, Izah belum mandilah mak. Izah naik atas mandi dan bersiap dululah ye. Tak mahulah nanti hero Izah tengok Izah comot macam ni " sempat Filzah berseloroh sebelum berlari-lari anak ke tingkat atas.
Puan Juariah hanya mampu tersenyum. Puan Juariah menjenguk ke ruang tamu dan melihat suaminya Encik Kamal mempelawa tetamu mereka duduk. Puan Juariah menyambung kembali kerja yang tertangguh kerana keletah anak tunggalnya itu.
Di tingkat atas Filzah bernyanyi riang sambil menggayakan pakaian. Girang rasa hatinya hendak bertemu penyelamatnya. Akhirnya Filzah memilih untuk mengenakan baju kurung polos berwarna kuning muda bersama tudung berwarna jingga. Manis sungguh kelihatannya anak gadis Encik Kamal dan Puan Juariah. Dengan debaran yang makin tidak menentu, Filzah menuruni anak tangga dengan berhati-hati.
Sayup-sayup kedengaran suara Encik Kamal berselang seli dengan suara asing. Sedang berbual tetapi tidak dapat dipastikan butir perbualannya. Suara asing itu kedengaran agak garau dan menimbulkan rasa aneh di hati Filzah.
Sesampai sahaja di bawah, mata Filzah mencari-cari gerangan pemilik suara garau itu. Secara kebetulan mata mereka bertemu. Senyuman terukir di wajah penyelamatnya. Filzah seakan terkaku. Jantungnya berdegup kencang. Laju Filzah melangkah ke dapur.
Di dapur kelihatan Puan Juariah sedang sibuk menghidangkan juadah yang selesai dimasak. Filzah membantu emaknya dengan debaran yang masih belum reda. Setelah selesai menghidang Puan Juariah memanggil suaminya dan tetamu pada malam itu untuk ke meja makan. Filzah merasa makin tidak keruan. Segera dia duduk di meja makan sambil cuba menenangkan dirinya.
Suara Encik Kamal dan penyelamatnya makin hampir. "Rancak sungguh mereka berdua ni berbual," bisik Filzah di dalam hati.
Encik Kamal mempelawa tetamunya duduk di kerusi yang menghadap Filzah. Dia hanya menurut. Filzah semakin berdebar. Lain sungguh perasaannya. Dari hujung-hujung mata Filzah meneliti wajah anak muda di hadapannya itu. Rambutnya agak tidak terurus dengan hidung yang mancung. Wajah di hadapannya itu kelihatan sempurna pada mata Filzah. Kulit sawo matang dengan mata yang redup.
"Izah ni la orang yang bawak Izah ke hospital hari tu, Azhim." perkenal abahnya ketika mereka sedang makan. Filzah hanya mampu tersenyum dan mengangguk. Senyumannya terasa kekok dan pabila sekali lagi Fizah dan Azhim bertentang mata, Filzah melemparkan senyuman kepada Azhim. Senyuman balas dari Azhim membuatkan Filzah berasa wajahnya merona merah.
Sepertinya pandangan redup dari Azhim menyampaikan sesuatu pada hati Filzah. Hati Filzah seakan melayang entah kemana.
KRRRIIIINNGGG....KRRIINNNNGGG....deringan telefon mengejutkan lamunan Filzah. "Ya Allah jauhnya aku mengelamun," bisik Filzah.
Kelihatan Puan Juariah sudah terlena di birai katil. Filzah menyelimuti emaknya dan kemudian bergegas menjawab panggilan telefon.
KRRRIIIINNGGG....KRRIINNNNGGG....deringan telefon mengejutkan lamunan Filzah. "Ya Allah jauhnya aku mengelamun," bisik Filzah.
Kelihatan Puan Juariah sudah terlena di birai katil. Filzah menyelimuti emaknya dan kemudian bergegas menjawab panggilan telefon.
bersambung....(KLIK)
ps: cerita ini hanya rekaan...segala kebetulan adalah sebagai penambah 'perisa' sahaja....
0 luahan rasa:
Post a Comment