Buscar

Páginas

~~Cahaya Belahan Jiwa yang Terbaik~~part 1





Lagu yang berkumandang di CD player miliknya itu seakan tidak memberi kesan kepada jiwanya. Fikirannya melayang entah ke mana. Jauh mindanya berjalan merentas masa menjejak segala kenangan pahit manis. Peristiwa beberapa minggu lepas benar-benar meletakkan dia dalam dilema yang seolah tiada penghujungya. Debaran turut dirasakan. Semakin lama semakin pantas seiring dengan pantas kereta Satria miliknya yang meluncur di jalanan. Mindanya masih mencongak-congak akan keputusan yang akan disampaikan. Masa yang diperuntukkan berakhir malam ini. Semuanya perlu diselesaikan hari ini.

********

Sayup kedengaran lagu 'Permata Yang Dicari' dari kamarnya. Mengundang senyum di wajah Filzah. Segera dia menyudahkan bacaannya. Naskhah akhbar itu dilipat dan diletakkan di atas meja. Dengan hati yang berbunga-bunga, laju langkahannya menuju ke kamar.

Handphone Nokia hadiah pemberian abahnya itu diangkat dan di skrin terpampang nama yang menjadikan senyumnya makin melebar. Rahimi, nama yang mengundang debaran di sekeping hati milik Filzah. 

Sungguh perkenalan yang tiada disengajakan itu membuahkan rasa yang aneh di hati keduanya. Meskipun tiada dizahirkan namun masing-masing seakan mengerti gejolak di hati satu sama lain. Terasa lengkap hidup Filzah dengan kehadiran Rahimi yang sering menasihatinya dan menegurnya apabila dia tersilap langkah. Semangatnya juga semakin bertambah dari hari ke hari. Azam serta tekadnya untuk menjadi seorang muslimah yang berjaya di dunia serta di akhirat semakin menebal.

Secara tidak sedar, Filzah mula menyulam angan ingin menjadi pendamping diri Rahimi. Kehidupannya semakin hari semakin terasa bermakna. Rahimi menjadi penguat dirinya yang telah hampir rebah ke bumi sebelum perkenalan mereka. Rahimi banyak membentuk serta memimpin Filzah agar kembali yakin pada Allah dan pada dirinya sendiri.

Tiada insan lain yang paling gembira melihat perubahan pada diri Filzah melainkan emak dan abahnya. Rahimi telah diperkenalkan kepada kedua emak dan abahnya beberapa bulan sebelumnya dan girangnya di hati Filzah apabila emak dan abahnya menyenangi kehadiran Rahimi dalam hidup Filzah.
 

********

Masa yang berlalu begitu pantas, Filzah kini berada di tahun kedua pengajiannya. Kesibukan dengan kuliah menjadikan hubungannya dengan Rahimi tidak seperti dahulu. Entah mana silapnya kemesraan di satu ketika dahulu semakin lama semakin hambar. Seolah-olah benteng yang semakin hari semakin terhakis dek ombak pantai.

Perselisihan faham kerap terjadi dan kadangkala payah pula bagi Rahimi memahami kehendak Filzah. Setiap perbualan kerap diakhiri dengan perselisihan faham yang mengundang air matanya. Rahimi pula merasakan Filzah tidak memahami dirinya lagi. Filzah bukan lagi Filzah yang dahulu.

Semua anganan dan cita-cita untuk menjadi suri di hati Rahimi semakin kabur di mata Filzah. Dan Rahimi pula semakin keliru dengan pergolakan di jiwanya. Segala konflik dan kekeliruan ini meletihkan keduanya. Akhirnya Filzah tekad untuk melupakan perihal Rahimi buat seketika. Segalanya diserahkan pada Allah. Andainya benar jodohnya bersama Rahimi, Filzah yakin mereka akan bertemu jua.

Semenjak itu, Filzah cuba bangkit kembali. Dia menyibukkan diri dengan aktiviti persatuan dan menghabiskan lebih banyak masa dengan sahabiah-sahabiahnya di kampus. Kekuatan diri dibina kembali. Baginya cukuplah Allah untuknya kerana dia yakin segala ujian yang melanda dirinya adalah tanda cinta dari Allah.


Melalui program-program yang diikuti Filzah  mengetahui kini bahawa perasaan cinta sebelum adanya hubungan yang halal adalah salah andainya tersalah menyalurkannya. Padanya itulah hikmah hubungannya dengan Rahimi menjadi goyang kerana sesungguhnya Allah menyayangi dirinya dan Rahimi dan Allah ingin melindungi mereka dari melakukan dosa serta lalai dari tanggungjawab dan tujuan kehidupan. Soal jodoh itu di tangan Allah dan tiada kuasa cinta manusia yang dapat mengalahkan kehendak Allah. Dengan keyakinan dengan janji Allah bahawa lelaki yang baik itu adalah untuk wanita baik dan wanita baik itu hanya untuk lelaki baik, Filzah meneruskan perjalanan kehidupannya di muka bumi Allah ini.


Kehidupan Filzah semakin tenang dari hari ke hari. Dan nama Rahimi Qarin semakin luput dari ingatan.

********

"Ah, aku harus cepat ni," getus hati kecil Filzah. Ternyata perkiraan masanya tersasar. Terlewat pula dia untuk ke Putrajaya bertemu kakak angkatnya. Satu pesanan ringkas menyatakan kelewatannya beserta ucapan maaf dikirim.

Dengan terkocoh-kocoh dia menyarung tudung berwarna merah muda. Sedikit bedak dan pelembab bibir dioleskan ke wajahnya. Setelah berpuas hati dengan penampilannya terus sahaja Filzah menyambar tas tangan dan kunci keretanya di atas meja. Kereta dihidupkan dan dengan lafaz bismillah Filzah memulakan pemanduannya ke Putrajaya. CD player keretanya memainkan lagu-lagu nasyid yang menjadi pilhan hati Filzah.

Seperti kebiasaannya Filzah gemar menghayati bait-bait lagu yang didengarnya. Satu demi satu lagu diputarkan. Semuanya seakan memberi ketenangan kepada diri Filzah. Lagu puji-pujian terhadap Sang Pencipta dan kekasih-Nya Rasulullah seolah meniup semangat ke dalam diri Filzah. Perlahan suara Filzah cuba mengikut irama lagu yang didengar. Sekadar menghibur hati ketika memandu.

Tanpa di duga lagu 'Permata Yang Dicari' berkumandang. Kelu lidah Filzah. Hatinya seolah dihimpit batu besar dan ingatannya terus mengorek memori lama. Nama Rahimi Qarin muncul semula.

Refleks tindakan tangannya menukar ke lagu seterusnya. Dan tanpa sedar titis jernih mula luruh dari matanya.

********

"Izah tolong akak pegangkan Kimi ni. Akak nak pergi tengok abang Zul dengan Mia tu."pinta kak Najwa pada Filzah sambil terkocoh-kocoh mengeluarkan tuala dari bag-pack yang dibawanya. Filzah hanya mengangguk dan mengambil Kimi dari pegangan kak Najwa.

Begitulah rutin bulanan Filzah. Mengikut kak Najwa serta suaminya,abang Zul, ke kolam renang membawa putera dan puteri mereka untuk beriadah. Perkenalan di alam maya membawa kepada ukhuwah yang rapat antara kak Najwa dan Filzah. Sedikit sebanyak kehadiran kak Najwa banyak membantu Filzah untuk melalui hari-hari yang menggetirkan. Kak Najwa yang tua 4 tahun dari Filzah banyak memberi semangat dan pandangan setiap kali Filzah mencurahkan perasaan. Dan adakalanya Filzah selesa berbincang dengan kak Najwa perihal masalahnya kerana kematangan pemikiran kak Najwa yang mendirikan rumah tangga ketika umurnya sebaya Filzah.

Dari kejauhan kelihatan kak Najwa dan abang Zul memimpin Mia sambil bergurau senda. Entah mengapa hati Filzah seakan-akan terusik.Sejujurnya hatinya mula merindukan kehadiran seorang peneman. Seringkali tingkah kemesraan kak Najwa dan abang Zul menimbulkan sedikit perasaan iri dalam hati Filzah. Dia mengimpikan seorang suami sebaik abang Zul yang mencintai kak Najwa sepenuh hati walau mereka tidak pernah menyulam cinta sebelum berkahwin. Perkahwinan yang diaturkan oleh keluarga ternyata memberi kebahagiaan yang tiada bandingnya kepada kak Najwa dan abang Zul.dan kerana itulah lewat setiap sujudnya Filzah memohon agar dikurniakan seorang pendamping di dunia ini yang dapat menjaganya dan mengajarnya erti cinta lillahi taala.

"Izah oooo Izah..hish budak ni berangan pulak dia," kak Najwa berkata sambil menepuk bahunya. Lamunan Filzah terbantut. Tersipu-sipu Filzah diusik sedemikian rupa. " Mana la Izah tak berangan tengok abang dan akak ni romatis sangat. Macam pengantin baru pulak," seloroh Filzah sambil menyerahkan Kimi yang sedang lena tidur ke pangkuan ibunya. Gejolak di hatinya disorokkan.

Abang Zul berbisik sesuatu kepada kak Najwa. Kak Najwa sekadar mengangguk lalu abang Zul berjalan ke arah pintu masuk kolam renang tersebut.

"Kak, Izah lapar lah. Jom lah makan ajak la abang Zul sekali,"kata Filzah kepada kak Najwa yang sedang duduk di sebelahnya. Sekadar menutup gelora rasanya.

Kak Najwa mencari-cari suaminya namun tidak kelihatan pula. Dia mengambil telefon bimbitnya lalu mendail nombor abang Zul. Filzah pula sibuk menyenduk lasagna yang dibawa dari rumah. Lasagna buatan Filzah menjadi kegemaran Mia. Filzah memanggil Mia yang sedang leka bermain. Dengan mesra Mia duduk di riba Filzah sambil meminta disuapi lasagna. Hilang sekejap tumpuan Filzah terhadap kak Najwa.


"Abang Zul kamu tu nanti datang kemudian. Dia terserempak kawan dia pulak. Kita makan dulu lah ye Izah," kata kak Najwa. Filzah menurut sahaja sambil melayan kerenah si comel Mia.

Tidak lama kemudian kelihatan abang Zul bersama seorang jejaka yang asing pada pandangan Filzah. Mereka beriringan berjalan ke arah khemah yang menjadi peneduh bagi Filzah, kak Najwa serta anak-anaknya. 

"Wawa, ni kawan abang, Bahzi. Dia satu sekolah dengan abang dulu,"abang Zul memperkenalkan rakannya kepada kak Najwa. Filzah tidak mengendahkan mereka kerana khusyuk melayan Mia.

Selera sungguh Mia makan. Gelagat Mia mengundang tawa Filzah. Terserlah sifat keibuan dalam diri Filzah. Mia dilayan seperti anak sendiri penuh mesra dan kasih sayang. Gelak tawa Filzah dan Mia berterusan tanpan Filzah menyedari gelagat mereka diperhatikan.

********

"Izah....", Filzah mendongak apabila mendengar namanya dipanggil.








ps: cubaan menulis cerita....sila komen sikit errkk....


ps: segala kebetulan dari segi watak dan jalan cerita harap dimaafi. cerita ini sesungguhnya hanya rekaan semata2 berdasarkan imaginasi tukang tulis....


3 luahan rasa:

~Catatan Hidup *** QuRrAtuL iSmAt~

Bhgian awal2 tu lbh krg mcm yg akak lalui skrg..trm ksh Ina sbb sdkt sbyk entri ini dpt beri motivasi pd akak...

corakl penulisan Ina pun ok..permulaan yg cukup baik..
tersukan usaha ye dik..akak sentiasa mnyokong!

HazimahRahman

like thiss~
pandai adik akuu tulis ceritaa!! ;)

Muhammad Ar-Rabi'

sambungan dia takde link.. aduhai...

 

Followers