Buscar

Páginas

~~Cahaya Belahan Jiwa yang Terbaik~~part 5



Cahaya Belahan Jiwa yang Terbaik part 1 di sini (KLIK)
Cahaya Belahan Jiwa yang Terbaik part 2 di sini (KLIK)
Cahaya Belahan Jiwa yang Terbaik part 3 di sini (KLIK)
Cahaya Belahan Jiwa yang Terbaik part 4 di sini  (KLIK)


********

Terpisat-pisat Filzah di tubir katil sambil memicit lehernya yang terasa tegang. Rupa-rupanya dia tertidur dalam keadaan duduk melunjur malam tadi. Patutlah sakit-sakit seluruh badannya. Mengerling kepada jam di meja, baru jam 5 pagi. Terpandang pula diari merah jambu berhampijan jam loceng berwarna ungu itu. Filzah mencapai diari itu dan tidak semena-semena beberapa keping foto terjatuh dari halaman-halaman diari.

Filzah meletakkan diari tersebut di meja sudut dan beralih perhatiannya pada foto-foto yang sudah berada di tangannya.

“Rahimi…” dengan perlahan Filzah membisikkan nama lelaki yang cuba diluputkan dari hatinya itu.

Foto wajah Rahimi di tangannya ditatap lama. Memori tentang Rahimi menyegar kembali dalam mindanya. Wajah Rahimi yang berbentuk bujur dengan janggut nipis memenuhi ruang fikirannya. Senyuman Rahimi yang mahal kembali menerjah ingatan Filzah.

Hatinya terasa pedih. Entah mengapa Filzah terasa mahu menghamburkan segala rasa. Terasa mahu meluahkan segala kata yang selama ini hanya terpendam di sudut hatinya yang paling dalam.

Diambil kembali diari merah jambu itu. Pen yang diletakkan di tepi lampu tidur diambil. Filzah mula mencoret sesuatu di halaman kosong diari.

Rahimi Qarin…..
Hadirmu tidak aku nantikan…
Tidak juga aku harapkan….
Seperti air mengalir deras di alur….
Sederas itu perasaanku padamu terbina..
Hari ke hari semakin indah kehidupanku…
Semakin ceria hari-hariku….
Kurasakan engkaulah untukku…
Pelindungku…
Penyelamatku..

Segala pesanmu kusemat…..
Segala kebencianmu ku elakkan…
Jauh di kepekatan malam doa tangisku panjatkan pada Ilahi..
Agar satu hari hati kita kan bertemu…
Di gerbang masjid yang akan dibina….
Dan akan diceriakan dengan lahirnya anak-anak manja…
Pelengkap hidup kita berdua..

Ku sandar doa ku kirim harap pada Maha Pencipta…
Agar mudah jalan bagi kita menuju bahagia…
Agar lapang langkah kita dari sengsara…
Siang berganti malam…
Panas hujan silih berganti….
Ku rasakan sesuatu yang asing…
Lewat setiap pertelingkahan..
Ku lihat dikau semakin jauh..

Ada kala tenggelam tak kelihatan..
Hilang dari pandangan..
Aku ditinggalkan dalam kelam…
Dibiarkan dalam suram..
Meronta dalam gelap…
Cuba meleraikan yang kusut…
Tapi kudratku mengalah..
Aku kalah..

Yang kusut kian tersimpul….
Makin ku rungkai makin serabut….
Kini ku lihat kau berbahagia….

Tanpa kau tahu…
Dari jauh ku perhati..
Setiap gerak geri….
Ku dapat rasakan kau baik-baik saja di sana..
Ramai yang mengambil berat..
Ramai yang mempeduli..

Serasa biarlah aku yang mengundur…
Ku serah segalanya pada Yang Esa…
Kerana ku yakin perancangan-Nya adalah yang terbaik….

Andai suatu hari kita kita ditemukan…
Terbuka hatiku menerima…
Terlalu dalam bekas yang engkau tinggalkan di hati ini…
Tapi andai belahan jiwaku bukan dirimu….
Aku akan redha kerana itulah yang terbaik bagi dirimu dan diriku..

Ku harap engkau jua akan memahami..
Apa yang kulakukan…
Ku serahkan soal kita kepada-Nya..
Jauh sekali aku membenci…
Tidak mungkin dapat ku lupa….
Tetapi jauh lebih baik..
Andai dekat menambah sesal….

Akhir kalam…
Pesanku untukmu….
Semoga engkau akan terus berusaha..
Menjalani hidup yang adakalanya kejam….
Anggaplah semuanya dugaan semata…
Dari Yang Mengetahui…
Hikmahnya pasti akan dirasa…
Bila tiba masanya nanti….

Tidak ku pinta engkau membenci…
Kerana aku bukan pembenci…
Ku harap saja engkau mengerti…
Mengapa semua ini yang terjadi….
Semoga engkau bahagia di sana..
Meneruskan perjuangan di jalan-Nya..

Dan andai suatu masa kita kita ditemukan kembali…
Senyumlah padaku….
Akan ku balas dengan senyuma paling manis...
Namun jika perjalanan kita terpisah hingga ke akhirnya….
Maafkan diriku atas segalanya…..
Kerana aku hanya insan biasa...
Yang hidup telah diatur oleh-Nya...


Noktahnya disini,
Nur Filzah Uzma


Berkali-kali coretan itu diulang baca. Berpuas hati, Filzah mengoyakkan halaman tersebut dan melipatnya rapi. Diselak diarinya mencari sampul surat yang ada disimpan di antara halaman diari merah jambunya itu. Perlahan-lahan surat tersebut dimasukkan ke dalam sampul. Alamat Rahimi yang melekat dalam mindanya ditulis di hadapan sampul. Dan esok Filzah mahu mengepos surat tersebut. Nekad tindakannya yang dirasakan terbaik buat masa itu.

Filzah mengerling kepada jam yang terletak di meja sudut bersebelahan katilnya. Baru jam 5.30pagi. Filzah meluruskan badan dan melangkah lesu ke bilik air.

Segar rasanya badannya usai mandi. Dibuka tingkap biliknya. Bayu sejuk menerpa masuk dan Filzah melempar pandangannya jauh. Sejauh yang mungkin. Dilihatnya jalan raya masih lengang dari kenderaan yang berpusu-pusu. Hari ini hari sabtu jadi mungkin semua penghuni kota mengambil peluang untuk bangun sedikit lewat berbanding hari bekerja. Teka Filzah di dalam hati.

Sambil berpeluk tubuh di tepi jendela Filzah hanya melayan mindanya yang berputar ligat mengingati memori lamanya bersama Rahimi. Sungguh foto Rahimi yang telah lama tidak ditatapnya mengganggu fikirannya hari itu.

Allahu Akbar, Allahu Akbar….

Astaghfirullahalazhim…” sayup-sayup seruan azan subuh menyedarkan Filzah dari lamunannya yang jauh. Sekali lagi Filzah menuju ke bilik air untuk mengambil wudhu’ bagi menyempurnakan salah satu tiang agamanya yang tidak pernah dia tinggalkan sejak dia menemui jalan ketenangan yang dicari selama ini.

Tiada perkara lain yang dapat menghilangkan resah di hati Filzah selain dari Allah dan kerana itulah sedaya upaya Filzah cuba mendekati dirinya dengan Allah kerana dia yakin Allah maha penerima taubat dan Allah tidak akan menilai dirinya berdasarkan kesilapan masa lalu yang pernah dilakukan.

Titis-titis jernih menemani doa Filzah usai solat subuhnya pagi itu. Hanya pada Allah Filzah meletakkan seluruh pengharapan kerana dia tahu walau sekuat manapun dia mengejar sesuatu, perkara itu tidak akan menjadi kenyataan andainya Allah tidak membenarkan. Walaupun sukar bagi Filzah untuk melepaskan tapi mengingati janji-janji Allah, Filzah redha.

Telekung dilipat kemas. Terdengar derapan menuruni tangga. Filzah menjengukkan kepala ke luar pintu. Dilihat abah dan emaknya menuruni tangga sambil berpimpinan tangan. Rumahnya yang dua tingkat setengah itu sering sahaja diceriakan dengan gelak tawa emak dan abahnya. Walaupun Filzah dilahirkan sebagai anak tunggal jarang sekali dia merasa kesunyian tidak mempunyai adik beradik kerana emak dan abahnya sentiasa ada untuk menyokongnya.

Assalamualaikum mak abah…amboi dah macam pengantin baru..ni nak pergi dating hujung minggu lah ye…Filzah ikut boleh tak?” kata Filzah ketika emak dan abahnya betul-betul berada di hadapan pintu biliknya yang terbuka.

Boleh je…cepatlah siap. Kami tunggu di bawah ya..cepat sikit tau” jawab emak.

Filzah segera menyarung jubah seluar berwarna pic pemberian kak Najwan untuk hari jadinya yang lepas. Warna yang dipilih kak Najwa sangat bersesuaian dengan minat Filzah. Berpuas hati dengan penampilannya yang dilengkapkan dengan sehelai pashmina sedondon, Filzah berlari-lari anak menuju ke kereta.

Haish anak dara abah ni…lama sungguh bersiap. Nak pergi jogging je pun,” kata abah sebaik sahaja Filzah menutup pintu kereta.

Filzah sekadar tersenyum. Kereta Perdana v6 kesayangan Encik Kamal meluncur laju membelah sunyi di pagi sabtu itu. Perjalanan pagi itu semua yang berada di dalam kereta masing-masing melayan perasaan. Hanya ditemani lagu yang berkumandang di radio.

Suasana di tasik kegemaran Encik Kamal dan Puan Juariah masih sunyi. Kelihatan beberapa pasangan warga tua yang berjalan-jalan di trek yang disediakan. “Awal lagi ni belum ada orang. Bagus benarlah, seronok sikit nak berjoging,” emak memecah kesunyian antara tiga beranak itu.

Emak dan abah pergilah berjoging, Izah macam biasalah malas nak jogging. Izah nak berjalan perlahan-lahan je. Nak hirup udara pagi. Nanti sekejap lagi kita jumpa dekat kereta la je.” Kata Filzah sambil memandang kedua orang tuanya yang sedang melakukan senaman regangan. 

Puan Juariah dan Encik Kamal sekadar mengangguk sambil tersenyum. Faham benar dengan sikap anak tunggal mereka itu.

Memang sedari kecil Izah kurang menggemari aktiviti luar. Dia hanya suka terperap di rumah serta minatnya lebih cenderung ke arah indoor games. Kerana itulah sejak dari zaman sekolah lagi Filzah tidak dikenali ramai kerana dia tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti sukan dan persatuan. Dia lebih menggemari aktiviti seperti permainan scrabble dan debate yang jarang hendak disertai oleh pelajar sekolahnya.

Filzah mengatur langkah perlahan mengelilingi tasik sambil menikmati keindahan pemandangan pagi itu. Di tengah-tengah tasik kelihatan beberapa kuntum bunga teratai putih yang kembang mekar. Sayup kedengaran bunyi katak dan burung-burung. Masing-masing berzikir dan memuji Sang Pencipta.

Pengunjung semakin ramai dan Filzah mula merasa lelah kerana sudah lama tidak berjalan jauh. Kesibukan di kampus menjadikan masa Filzah untuk beriadah semakin kurang.


Hish mana nak duduk berehat ni,kaki pun dah lenguh-lenguh,” gerutu Filzah sambil matanya melilau mencari tempat untuknya berehat.

Hah, tu ade pokok besar tu. Duduk bersandar kat situ pun best,” segaris senyuman lega terlukis di wajah Filzah.

Bismillah…Ya Allah, penat sungguh,” kata Filzah perlahan sambil melabuhkan punggungnya di perdu pokok yang rendang itu. Sejuk dirasakan.

Filzah mengeluarkan handphone nya dan kelihatan ada satu mesej belum dibaca. Filzah kehairanan kerana dia tidak mendengar ringtone menandakan ada mesej masuk.

“Assalamualaikum Izah. Kak Najwa jadi tau datang rumah Izah hari ni. 
Tapi akak bawak tetamu. Ramai jugak, kami datang 3 buah kereta. Boleh ye? 
Lepas zohor insya-Allah kami sampai.”

Rupanya mesej dari kak Najwa. Filzah hampir terlupa janjinya dengan kak Najwa.

Tapi kenapa ramai sangat sampai 3 buah kereta? Mungkin saudara kak Najwa dari kampung kot,” getus Filzah dalam hati.

Filzah membalas pendek mesej kak Najwa memberikan persetujuan. Handphone disimpan kembali ke dalam poket seluarnya dan Filzah melempar pandangan ke tengah tasik. Gelagat beberapa ekor angsa yang berkejaran di dalam air menarik perhatian Filzah.

Assalamualaikum, boleh berkenalan?Seorang je cik adik?” berderau darah Filzah ditegur sedemikian rupa. Benci benar dirinya andai lelaki menghulurkan perkenalan sedemikian rupa. Tidak gentleman pada pandangan Filzah.

Perlahan-lahan Filzah memalingkan muka mahu melihat insan yang berani menegurnya begitu. Dan hampir saja menghamburkan rasa tidak sukanya ditegur sedemikian rupa namun terhenti kerana melihat wajah abahnya yang sedang menahan tawa.

Hish abah rupanya. Nasib baik Izah tak fire tadi,” kata Izah manja sambil cuba berdiri.

Abah kamu ni nak bergurau pulak pagi-pagi ni,” ujar Puan Juariah sambil tertawa kecil.

Abah minta maaf ya sayang. Abah tengok Filzah jauh sangat menung. Tengok putera idaman agaknya kat tengah-tengah tasik tu,” abah tidak habis-habis mahu mengusik anak tunggal kesayangannya itu.

Filzah membalas dengan gelak tawa dan dengan beriringan mereka menuju ke kereta yang diparking tidak jauh dari situ.

Emak, hari ni kak Najwa nak datang rumah,” kata Filzah membuka bicara setelah melihat kepenatan emaknya hilang sedikit.

Kan hari tu Izah dah bagitahu emak, kak Najwa nak datang,emak tak kisah. Emak suka Izah kawan rapat dengan kak Najwa tu,” jawab emak sambil perhatiannya masih pada jalan raya. Encik Kamal hanya mendengar perbualan dua beranak itu.

Tapi mak, kak Najwa bawak ramai orang. Katanya 3 buah kereta. Nanti lepas Zohor mereka sampai. Kita masak sikit lah eh untuk mereka?,” soal Filzah. Kata-kata diatur sebaik mungkin. Bimbang emaknya tidak selesa menerima tetamu yang ramai.

" 3 buah kereta? Ramainya Izah," perhatian emak dialihkan. Dia memandang Filzah dengan muka penuh tanda tanya.

"Entahlah mak,Izah tak tahu. Nak kata tak boleh, rasa tak sedap pulak menolak tetamu. Mak pun pernah kata kan tak baik menolak tetamu yang berkunjung. Tapi kalau mak tak suka Izah boleh bagi tahu pada kak Najwa," Filzah meminta kepastian. Dalam hatinya emak membenarkan kerana dia sangat rindu hendak berjumpa kak Najwa

“Boleh je. Tapi nanti lepas sarapan kita pergi pasar sekejap ye bang. Lauk kat rumah tu macam tak cukup je,” perhatian puan Juariah dialihkan semula kepada Encik Kamal yang sedang memandu.Meminta persetujuan.

Baik puan!” balas Encik Kamal. Lucu benar nada suaranya mengundang tawa Filzah dan Puan Juariah. Memang Encik Kamal seorang bapa dan suami yang baik.

Filzah lega dengan penerimaan emaknya. Kepalanya disandarkan di seat kereta dan sekali lagi Filzah hanya memandang kosong pemandangan di sepanjang jalan.


********

Penatnya mak,” keluh Filzah sambil menyeka peluh di dahi. Hampir 2 jam bertarung di dapur menyiapkan hidangan untuk tetamu yang akan sampai tak lama lagi.

Bau masakan yang menusuk hidung menjadikan Filzah lapar secara tiba-tiba. Dia cuba mencubit sedikit ayam goreng.

Aduh, sakitlah,” pantas saja emaknya mencubit tangan Filzah. Cubit manja.

Apa ni main cubit-cubit lauk pulak.Kan Izah pulak yang  kena cubit,” kata emak sambil tersenyum simpul.

Dah, jom kita pergi bersihkan badan dan bersiap.Izah tu dah bau macam ayam dah. Tamu ni bila-bila masa pun boleh sampai. Dah azan pun tu. Solat dulu siap-siap ya,” pesan emak.

Filzah mengangguk dan mula mengatur langkah ke tingkat atas. Lenguh seluruh badannya.Penat berjalan pagi tadi masih belum hilang dan ditambah pulan dengan kepenatan memasak bersama emaknya sebentar tadi membuatkan Filzah terasa ingin tidur sahaja. 

Selesai membersihkan diri, Filzah terasa ingin mengenakan jubah putih yang belum pernah dipakainya lagi. Entah mengapa tergerak hatinya untuk memakai jubah tersebut. Lebih 3 bulan jubah itu disimpannya. Untuk apa Filzah tidak tahu.

Semenjak menerima mesej dari kak Najwa hati Filzah terasa lain macam. Berdebar-debar dan tidak senang duduk dibuatnya. Namun disebalik debaran itu terselit rasa indah dan tenang. Filzah sendiri pun tidak mengetahui mengapa dia merasai perasaan yang sedemikian rupa.

Tubuhnya dipusing-pusing di hadapan cermin beberapa kali. Jubah berwarna putih gading itu terletak elok di tubuhnya. Sulaman berwarna hijau pucuk pisang menambahkan kecantikan pada jubah yang dibeli dari kawannya itu.

Sehelai tudung berwarna hijau muda disarungkan. Renda organza di hujung tudung memberikan sentuhan yang sweet pada penampilan Filzah. Sedikit bedak dan pelembab bibir dioleskan agar tidak kelihatan pucat.

Setelah berpuas hati Filzah mengatur langkah perlahan menuju ke tingkat bawah. Semakin dia menghampiri ruang tamu semakin jelas kedengaran bunyi suara orang berbual. Dada Filzah semakin berdebar. Tetamu sudah sampai rupanya.

Filzah meninjau-ninjau hendak melihat jumlah sebenar tetamu yang hadir. Ada 13 orang semuanya termasuk beberapa orang kanak-kanak yang asyik bermain permainan yang sengaja emaknya letakkan di bahagian ruang tamu. 

Filzah menderaskan langkah dan menyapa tetamu yang hadir dengan senyuman. Dia merasakan ada 13 pasang mata yang memandangnya dengan pandangan penuh makna. Debaran di hati Filzah semakin tidak keruan. Dia menyalami tetamu-tetamu wanita. Bertambah kepelikan di hati Filzah ada seorang wanita yang agak berusia mengusap kepalanya apabila dia tunduk untuk mencium tangan wanita tersebut sebagai tanda hormat kepada orang yang lebih tua.

Di antara tetamu yang hadir ada seorang yang Filzah rasa pernah melihat wajahnya. Di mana Filzah tidak pasti. Buat seketika pandangan mereka bertaut namun cepat-cepat pandangan dialihkan. Wajah Filzah terasa merona kerana malu.

Izah,tolong bancuhkan air ya. Emak dah masak dah air tadi,” arah emak selepas sahaja Filzah selesai menyalami tetamu wanita. Filzah sekadar mengangguk dan menyusun langkah menuju ke dapur. Filzah merasakan segala tindak tanduknya diperhatikan.

Mak cik, Najwa pergi tolong Izah kat dapur lah ya,” sampuk kak Najwa yang sedari tadi Filzah lihat tersengih-sengih bak kerang busuk. Kimi yang berada di pangkuan diserahkan kepada abang Zul yg duduk disebelahnya.

Kak Najwa melajukan langkah agar dapat beriringan dengan Filzah menuju ke dapur.

Amboi lajunya berjalan macam kena kejar dengan kereta api pulak,” kata kak Najwa ketika mereka sampai ke dapur. Pintu dapur ditutup agar tetamu yang berada di ruang tamu tidak terdengar perbualan mereka.

Apa tak lajunya kak. Izah rasa macam mereka semua nak makan Izah aje. Pandang lain macam je. Siapa mereka tu kak?” soal Filzah. Tangannya ligat mengeluarkan cawan dan teko dari kabinet dapur.

Mereka tu keluarga kawan akak. Dah lama sebenarnya mereka nak datang sini. Hari ni baru lapang. Mereka nak jumpa Izah,” jawab kak Najwa. Namun Filzah masih tidak berpuas hati dengan jawapan kak Najwa.

Mereka datang nak jumpa Izah?Kenapa?Izah tak kenal pun mereka tu?Kenapa nak jumpa Izah pulak?” soal Filzah bertalu-talu.

Mereka datang nak…nak…” kak Najwa tergagap. Tidak tahu bagaimana cara yang terbaik untuk memberitahu Filzah.

Nak apa?Ish akak ni buat Filzah saspen je. Bagitahulah cepat,” desak Filzah.

“Izah teka lah dulu,” kak Najwa masih berteka-teki.

Alah akak ni..tak nak bagitahu takpe lah,” Filzah berpura-pura merajuk. Dia tahu kak Najwa pasti akan kalah bila dia mula merajuk.

Izah…..,” kak Najwa memanggil dengan nada memujuk. Serba salah mempermainkan adik kesayangannya itu.

Mereka datang nak merisik Izah lah,” serasa seperti hilang beban batu di bahu kak Najwa kerana akhirnya dapat memberitahu Filzah tujuan asal mereka datang ke rumah Filzah.

Ha?Akak biar betul kak. Untuk siapa pulak yang mereka risikkan Izah ni?” tanya Filzah. 

Serta merta pandangannya diarahkan kepada kak Najwa.Dadanya berdegup dengan semakin kencang. Terasa terbang semangatnya mendengar perkataan merisik meluncur laju dari bibir kak Najwa.Baru dia tahu mengapa hatinya terasa lain sejak dari tadi lagi. Rupanya ada berita mengejutkan yang bakal diterima.

Ada tak kamu perasan sorang lelaki yang boleh tahan la hensemnya kat depan tu?Yang berkemeja kelabu tu?Ada janggut kambing,putih-putih sikit…tapi hensem lagi abang Zul kamu tu…hehe” sempat lagi kak Najwa bergurau.

“Erm, ada jugak Izah perasan.Dia ke?” soal Filzah.

Kak Najwa sekadar mengangguk.

Tapi kak…..Izah tak kenal pun dia siapa,” ujar Filzah perlahan. Perasaannya bercampur baur.

dan…bolehkah nanti dia menerima Izah.Akak pun tau Izah ni dah tak…

Izah, hal yang dah lepas jangan sebut lagi.Akak tak suka,” pintas kak Najwa sebelum sempat Filzah menghabiskan ayatnya. Dilihatnya mata Filzah mula berkaca-kaca.

Sebelum akak bawak ke sini,akak da siasat semua pasal dia. Akak dapat rasakan apa yang dia cari, ada pada Izah. Dan dia adalah orangnya untuk Izah. Dia kawan abang Zul kamu. Junior abang Zul masa sekolah dulu.”

Filzah hanya membisu.

Umur dia muda sedikit dari kami. 23 tahun dan sekarang masih belajar lagi. Tahun akhir. Dan Izah nak tahu kenapa akak yakin sampai akak buat keputusan bawa dia ke sini?” soal kak Najwa apabila melihat Filzah tidak memberi respon pada apa yang dicakapkannya.

“Apa kak,” Filzah menyoal. Lemah.

Dia kata, beberapa minggu lepas dia buat istikharah setiap malam selama 2 minggu. Dan, selama 3 malam berturut-turut Izah hadir dalam mimpi dia,” jelas kak Najwa.

Dia kenal Izah ke kak?” Filzah kehairanan.

“Izah ingat tak hari kita ke kolam renang yang kita jumpa kawan abang Zul tu? Ni la orangnya. Nama dia Bahzi Bakhtiar. Sejak dari itu katanya dia dah mula terpaut pada Izah. Tapi demi prinsipnya yang tidak mahukan apa-apa hubungan sebelum berkahwin, dia hanya mendiamkan diri dan mula meminta petunjuk dari Allah melalui solat-solat malamnya. Dia lelaki yang baik Izah, sama macam kamu,” terang kak Najwa lagi. Cuba meyakinkan Izah

Akak sendiri kata Bahzi tu lelaki yang baik. Tapi kak, Izah ni tak layak untuk dia. Pasti malu dia nanti andai beristerikan seorang perempuan macam Izah,”

Izah,akak da kenal Bahzi tu. Apa sahaja yang dia lakukan dalam hidupnya sentiasa berlandaskan syariat dan demi mengejar redha Allah. Dan akak yakin tindakan dia merisik Izah walaupun dia tidak pernah mengenali Izah telah dia fikirkan semasak-masaknya. Dia pernah menceritakan pada abang Zul bahawa dia rasa telah tiba masanya dia menyempurnakan sebahagian dari agamanya dengan mendirikan rumah tangga. Izah adalah gadis  bertuah yang telah Allah pilih untuknya. Menguatkan lagi keputusannya apabila Izahlah yang hadir dalam mimpinya,” kak Najwa memegang tangan gadis yang dianggap seperti adik kandungnya sebagai tanda memberi sokongan.

Entahlah kak, semuanya terlalu cepat. Izah takut,” suara Filzah tersekat-sekat.

Macam ni lah Izah. Bahzi ada cakap. Andai Izah belum bersedia dia akan berikan Izah masa untuk berfikir dan berbincang dengan emak dan abah. Izah fikirlah masak-masak..ya dik,” kak Najwa mengakhiri bicara.

Baru sahaja Filzah hendak membuka mulut, terdengar laungan emaknya menanyakan minuman untuk tetamu.Kak Najwa dan Filzah terkocoh-kocoh menyiapkan semuanya dan membawanya ke ruang tamu.

Fikiran Filzah masih berputar-putar dengan pelbagai soalan. Digagahkan dirinya senyum walau terasa palsu ketika mencurahkan air ke dalam cawan. Dari ekor matanya dapat dia melihat wajah jejaka yang bernama Bahzi Bakhtiar yang tekad merisik dirinya walau belum pernah berkenalan. Dadanya berdegup kencang pabila sekali lagi matanya bertemu mata Bahzi. Bahzi yang juga kelihatan terkejut apabila mata mereka bertentang segera mengalihkan pandangan.

Rasa dingin meresapi hati Filzah. Dapat dirasakan Bahzi merupakan seorang yang sangat menjaga pandangannya. Benarlah Bahzi merupakan seorang lelaki baik seperti yang diperkatakan kak Najwa. Di sebalik degupan kencang di dada Filzah tersulam rasa bahagia dan tenang.Aneh sungguh perasaannya kini...

Mungkinkah ini tandanya doa Filzah lewat tiap solatnya akan dimakbulkan Allah? 


********



bersambung....(KLIK)


ps: cerita ini hanya rekaan...segala kebetulan adalah sebagai penambah 'perisa' sahaja....

pss: hari ni 14 februari la....haishhh..moga2 yang membaca ni taklah menyambut valentine's day yang dah sah2 haram di sisi Islam...kita Islam,kan??tayah la sambut...

psss: eh2...ade org yang anniversary perkahwinan yg pertama arini kan2??semoga pernikahan kalian berkekalan hingga ke syurga...dan semoga beby2 yang bakal lahir bakal menjadi mujahid dan mujahidah solehah cam ibu bapanya....jangan lupa doakan sy sekali ekkk...^_^

2 luahan rasa:

aiyang

aduhhh...dah baca sampai sini rasa debar lak....tahniah...teruskan menulis

ticher ina

time kaseh kak..
teruskan membaca ye...
^_^

*happy*

 

Followers